Kegemilangan di Cordova

ZAMAN KEGEMILANGAN BANI UMAYYAH DI 
ANDALUSIA (756-1031 M)

Kecemerlangan pemerintahan Islam di Andalusia boleh dikatakan berlaku pada zaman Umayyah, selepas mereka bertindak keluar dari penguasaan Abbasiyyah terhadap wilayah Islam. Kejayaan ini berlaku pada zaman Abdul Rahman al-Dakhil yang mula mengukir nama di Andalusia pada tahun 138H/ 756M. Zaman ini telah berterusan sehingga kira-kira 3 abad sehingga 422H/ 1031M di mana pemimpinnya berjaya membentuk satu masyarakat yang dinamik dan harmoni dalam kepelbagaian latar belakang penduduknya. Zaman kegemilangan ini boleh dilihat daripada pelbagai aspek seperti aspek pendidikan, pusat penterjemahan, senibina dan ekonomi.


ASPEK PENDIDIKAN


Pada zaman al-Hakam II, ramai sarjana Islam dihantar ke beberapa wilayah misalnya, Cairo, Damacus dan Baghdad untuk mengumpul buku-buku dalam pelbagai bidang. Selain itu, pada zaman beliau juga terdapat 17 pusat pengajian dan 70 perpustakaan di Andalusia. Pada masa yang sama, pusat pengajian tinggi di Cordova iaitu Universiti Cordova yang diasaskan oleh Abdul Rahman III menjadi pusat pengajian terkenal di Eropah manakala pusat pengajian terkenal yang lain pula terdapat di Seville, Toledo, Malaga dan Granada.


ASPEK PUSAT PENTERJEMAHAN


Seperti sedia maklum, pusat penterjemahan yang terkenal terletak di Toledo dan kesan kegiatan penterjemahan menjadikan Andalusia sebagai pusat kegemilangan tamadun Islam serta menjadi penggerak kepada kebangkitan masyarakat Eropah.


ASPEK SENIBINA


Antara senibina terkenal pada zaman kegemilangan Bani Umayyah di Andalusia ialah istana al-Hamra’ dan masjid Cordova. Masjid Cordova mula dibina pada tahun 784M di bawah penyeliaan pemerintah Islam Andalusia, Abdul Rahman I. Masjid ini pernah mengalami beberapa pengubah suaian sehingga satu tahap di mana dianggap sebagai masjid kedua terbesar dalam empayar Islam. Setelah Cordova jatuh ke tangan Kristian pada tahun 1236 M di bawah pemerintahan Raja Ferdinand III dari Castile, masjid Cordova telah ditukar kepada gereja. Bahagian tengah masjid telah diubah  suai dan diterapkan dengan unsur-unsur gereja. Sehingga kini, ia digunakan sebagai gereja untuk Kristian Roman Katolik.


ASPEK EKONOMI


Sistem kewangan ditubuhkan bagi mengimbangi pendapatan  dan perbelanjaan. Sumber pendapatan diperolehi daripada zakat, jizyah, kharaj dan sebagainya. Di samping itu, Cordova menjadi pusat ekonomi dan perdagangan antarabangsa. Seterusnya, Andalusia juga menjadi pusat membuat tembikar, perhiasan perak dan emas, memproses kulit, mengeluarkan senjata dan sektor pertanian juga telah dimodenkan.

No comments:

Post a Comment